DASAR PEMBANGUNAN NASIONAL
LATARBELAKANG
Dasar Pembangunan Nasional (DPN) telah dilancarkan oleh Y.A.B. Dato Seri Dr. Mahathir
Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada 17 Jun 1991. Rangka Rancangan Jangka Panjang
Kedua (RRJP 2) 1991 - 2000 telah digubal berasaskan Dasar Pembangunan Nasional (DPN),
menandakan bermulanya satu lagi era baru di dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah
negara maju menjelang tahun2020.
OBJEKTIF
Perpaduan negara akan terus menjadi matlamat terakhir DPN kerana masyarakat yang
bersatupadu adalah penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik dan
mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. DPN menetapkan satu langkah ke arah
membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju dalam semua segi iaitu dari
segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan
pentadbiran kerajaan, dan kecemerlangan ekonomi.
STRATEGI PELAKSANAAN
DPN akan terus mengekalkan strategi asas Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu pembasmian
kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial
dan ekonomi antara kaum dan dengan ini akan menyumbangkan ke arah mengukuhkan
perpaduan negara. DPN adalah bertujuan untuk mewujudkan satu corak pembangunan yang
lebih seimbang yang merangkumi aspek- aspek kritikal seperti berikut:
i. Mewujudkan keseimbangan yang optimum di antara matlamat pertumbuhan ekonomi
dengan pengagihan yang saksama;
ii. Memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk
meningkatkan daya saling melengkapi antara sektor bagi mengoptimumkan
pertumbuhan;
iii. Mengurang dan akhirnya menghapuskan ketidaksamaan sosial dan ekonomi negara untuk
menggalakkan perkongsian secara lebih adil dan saksama faedah yang diperolehi dari
pertumbuhan secara lebih adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia;
iv. Menggalak dan memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang
ketidakseimbangan yang luas dalam pembangunan ekonomi antara negeri dan antara
kawasan Bandar dan luar bandar;
v. Membangunkan sebuah masyarakat yang progresif di mana semua rakyat menikmati
kesejahteraan hidup yang tinggi di samping mempunyai nilai-nilai sosial dan kerohanian
yang positif serta menghayati perasaan bangga dan cintakan negara;
vi. Memajukan sumber manusia dan termasuk mewujudkan tenaga kerja yang berdisplin dan
produktif serta meningkatkan kemahiranyang perlu bagi menghadapi cabaran
pembangunan industri melalui satu budaya kecemerlangan tanpa menjejaskan matlamat
penyusunan semula masyarakat;
vii. Menjadikan sains dan teknologi sebagai satu teras penting dalam perancangan dan
pembangunan sosio-ekonomi yang memerlukan usaha membangunkan keupayaan dan
kebolehan dalam teknologi strategik dan berasaskan ilmu serta memajukan budaya sains
dan teknologi dalam proses membangunkan satu ekonomi perindustrian yang moden; dan
viii. Memastikan bahawa dalam usaha mencapai pembangunan ekonomi perhatian yang
sewajarnya diberikan kepada perlindungan alam sekitar dan ekologi supaya dalam jangka
panjang bagi memastikan pembangunan negara dapat dikekalkan secara berterusan.
No comments:
Post a Comment